Sebenarnya, terdapat beberapa faktor mengapa kucing hilang selera makan dan diantaranya ialah seperti berikut:
Masalah mulut dan gigi
Sama seperti manusia, masalah mulut dan gigi juga mendatangkan rasa sakit dan sangat tidak selesa. Keadaan ini menyebabkan proses makan dan mengunyah terganggu dan kucing anda enggan makan.
Bukan sahaja penyakit dan jangkitan, keadaan mulut yang cedera seperti gusi bengkak, gigi patah dan sebagainya juga boleh menyebabkan kucing anda menolak untuk makan.
Masalah sistem penghadaman
Sesetengah penyakit dan masalah penghadaman juga boleh menyebabkan kucing anda hilang selera makan. Contohnya seperti parasit, colitis, gastroenteritis, atau kanser.
Bukan itu sahaja, masalah cacing kucing yang teruk juga boleh menyebabkan rasa tidak selesa pada perut dan seterusnya menyebabkan kucing hilang selera makan.
Masalah pernafasan
Tahukah anda, kucing memilih makanannya berdasarkan bau. Apabila mereka mengalami masalah pernafasan, ia boleh menyebabkan kucing hilang deria bau dan mengganggu selera makan mereka
Penyakit buah pinggang
Biasanya, ia berlaku kepada kucing tua. Penyakit ini boleh menyebabkan simptom seperti kucing tak nak makan dan muntah-muntah.
Baru sahaja mendapat vaksin atau makan ubat-ubatan
Kucing tak nak makan selepas vaksin? Perkara ini mungkin salah satu kesan sampingan vaksin dan ubat-ubatan ini kepada kucing anda. Namun, biasanya ia hanya akan berlaku buat tempoh masa yang sementara
Kucing berada dalam keadaan stress atau murung
Seterusnya, kucing sangat sensitif terhadap perubahan rutin mereka. Apabila berlaku perubahan besar dalam rutin kucing yang biasa atau berpindah rumah ia boleh menyebabkan mereka berada dalam keadaan yang stres, murung dan seterusnya menolak untuk makan.
Kucing sudah kenyang
Kadang-kadang, jawapan mengapa kucing anda enggan makan cukup mudah. Mungkin hanya kerana mereka sudah kenyang. Bagi kucing yang tinggal di luar rumah teritamanya tidak dimandulkan, mereka akan berjalan lebih jauh dari rumah.
Dalam perjalanan itu, mereka mungkin sudah makan makanan yang berada di tepi jalan atau sepanjang perjalanan mereka.
Berapa lama kucing boleh hidup tanpa makanan
Secara puratanya, kucing boleh bertahan tanpa makanan tetapi minum selama seminggu hingga dua minggu. Bagaimana pula jika kucing tak nak makan dan minum? Mereka hanya boleh bertahan sehingga tiga hari.
Walaupun kucing tidak makan hanya selama dua hari, mereka mungkin kekurangan zat dan seterusnya sakit serta memerlukan rawatan veterinar dengan segera.
Cara merawat kucing tak nak makan
Rawatan yang perlu diberikan kepada kucing ini sebenarnya bergantung kepada punca mereka enggan makan, jom kita lihat beberapa pilihan yang anda boleh cuba:
Tentukan apakah tabiat makan bagi kucing anda
Biasanya, bagi kucing mereka juga mempunyai tabiat makan yang sangat unik. Ada kucing yang gemar untuk makan beramai-ramai dan ada yang memilih untuk makan berseorangan.
Bagi mewujudkan persekitaran yang selesa bagi kucing anda makan, cuba perhatikan apakah tabiat makan kucing anda. Kucing yang gemarkan waktu makan bersama peneman, akan merasa selesa makan sambil ditemani anda yang membelainya.
Bagi cara ini, anda boleh meletakkan bekas makanan di beberapa tempat dan lihat di mana mereka lebih memilih untuk makan. Adakah tempat yang tersorok atau tempat yang mungkin ramai dengan ahli keluarga.
Letakkan bekas makanan di lokasi yang berbeza
Bagi membantu kucing anda untuk makan semula, cuba letakkan bekas makanan di lokasi yang berbeza. Sebagai pemilik, kita tidak akan selalu ada sekiranya mereka mula ingin makan.
Oleh itu, dengan meletakkan makanan di lokasi yang berbeza, ia bukan sahaja membantu mereka mempunyai lebih banyak pilihan untuk makan. Malah, sekiranya berlaku sesuatu yang tidak menyenangkan di salah satu lokasi, mereka masih mempunyai pilihan lokasi yang lain.
Pilih bekas makanan yang sesuai
Disebabkan kucing merupakan haiwan yang sangat sensitif, anda juga perlu memilih bekas makanan yang sesuai bagi mereka. Elakkan memberi makanan di dalam bekas makanan yang terlalu sempit atau tidak tahan lama.
Cuba tentukan cara yang berbeza bagi memberikan makanan
Jika perlu, ubah jadual dan cara yang berbeza untuk memberikan makanan. Anda boleh mencuba memberikan makanan di dalam kuantiti yang kecil tetapi lebih kerap. Ia bukan sahaja membantu makanan untuk kekal segar, tetapi membantu membentuk pola pemakanan kucing anda semula.
Selain itu, jika perlu, cuba beri makanan daripada tangan anda. Ya, kadang-kadang ada kucing yang mungkin hanya ingin bermanja atau inginkan perhatian akan berselera jika anda memberikan mereka makanan daripada tangan anda.
Dapatkan rawatan veterinar
Jika semua cara ini gagal memujuk untuk kucing anda makan, cuba dapatkan rawatan veterinar dengan segera. Pihak veterinar akan mencari punca sebenar kucing anda enggan makan terutamanya jika disebabkan penyakit.
Malah, jika kucing anda berada dalam keadaan kelaparan atau menunjukkan tanda-tanda sakit yang teruk, mungkin pihak veterinar akan mengesyorkan anda memberikan makanan atau susu melalui tiub makanan.
Artikal dari: https://www.oyen.my/
Comments